Diskaun Tol 50% Sempena Hari Raya Aidilfitri 2018

June 12, 2018
Travel Smarter

11 Jun 2018, Kuala Lumpur – Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) menyambut baik langkah kerajaan untuk memberi potongan kadar tol sebanyak 50% bagi semua jenis kenderaan di lebuh raya bertol di Malaysia sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Pengguna-pengguna lebuh raya bertol bakal menikmati diskaun 50% tersebut pada 13 dan 14 Jun 2018, iaitu 2 hari sebelum sambutan Hari Raya.

“Jutaan pengguna lebuh raya akan menikmati diskaun khas yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini. Sebanyak 30 lebuh raya bertol terlibat dalam pemberian diskaun 50% ini. Ia merupakan satu langkah tanggungjawab sosial syarikat konsesi lebuh raya kepada rakyat di negara ini, khasnya pengguna-pengguna lebuh raya.” ujar Encik Sazally Saidi, Yang Di-Pertua PSKLM.

“Warga kerja di kesemua lebuh raya bertol juga sedang sibuk membuat persediaan menghadapi musim perayaan ini bagi memastikan pengguna dapat menikmati perjalanan lancar ketika pulang ke kampung halaman. Kami berharap kesemua pengguna lebuh raya akan merancang perjalanan pulang ke kampung halaman mengikut masa-masa yang berlainan bagi perjalanan yang lebih selesa. Pengguna juga boleh merujuk kepada Travel Time Advisory bagi lebuh-lebuh raya antara bandar seperti Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Pantai Timur 2 untuk merancang perjalanan mereka.”

“Pengguna juga disarankan membuat pemeriksaan kenderaan dan menambah nilai kad touch ‘n go mereka beberapa hari sebelum memulakan perjalanan.”

Encik Sazally Saidi juga menasihatkan pengguna lebuh raya untuk “memastikan mereka cukup rehat dan sekiranya mengantuk, berhenti sekejap di kawasan rehat dan rawat atau hentian sebelah untuk berehat.” 

“Bagi pihak kesemua ahli PSKLM, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.”

- Tamat -


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi
YBhg Dato’ Ir. Mohd Ashari Alias di talian 03-2084 5000


Persatuan Syarikat- Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) telah didaftarkan pada 9 Februari 2011 sebagai platform untuk menangani isu-isu operasi lebuh raya di Malaysia. Ia bertindak sebagai orang tengah antara syarikat konsesi, pihak berkuasa dan orang awam untuk membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan kadar tol, operasi tol, penyelenggaraan lebuh raya dan perkara-perkara yang berkaitan lebuh raya yang lain.

Click to download a copy: Diskaun Tol 50% Sempena Hari Raya Aidilfitri 2018