Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2018

March 1, 2018
Travel Smarter

Kuala Lumpur, 6 Februari 2018 – Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan sokongan pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menganjurkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuhraya menjelang perayaan Tahun Baru Cina di Hentian Sebelah Ayer Hitam (arah Selatan), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang akan yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya.

Kempen ini merupakan siri kempen kesinambungan advokasi keselamatan lebuh raya terdahulu yang memberi penekanan khusus kepada generasi Y untuk dihebahkan menerusi platform media sosial dengan menggunapakai hashtag #Respeklabro. Kempen Advokasi ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna lebuh raya akan pentingnya mengamalkan etika pemanduan berhemah dan bertimbang rasa di lebuh raya, di samping itu ianya sebahagian daripada usaha murni untuk mengurangkan kadar kemalangan yang kian meningkat saban tahun. Semasa musim perayaan Tahun Baru Cina ini dijangkakan pertambahan trafik harian adalah sebanyak 20 – 30 % di Lebuhraya PLUS dan lebuh raya utama yang lain.

Larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan turut dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama 4 hari, iaitu pada 14 sehingga 15 Februari 2018 dan 24 sehingga 25 Februari 2018. Inisiatif proaktif ini termasuklah langkah Kerajaan mengeluarkan arahan henti kerja (stop order work) di lebuh raya kecuali bagi kerja – kerja kritikal untuk tempoh 16 hari iaitu bermula dari 10 sehingga 25 Februari 2018.

LLM juga telah mengenalpasti 10 lokasi blackspot di Lebuhraya PLUS dan LPT pada tahun 2016. Sebanyak RM11.7 juta telah dibelanjakan oleh syarikat konsesi terlibat untuk tujuan penambahbaikan dan ini telah dibuktikan keberkesanannya apabila sebanyak 40% kadar kemalangan 2017 telah berkurangan di lokasi-lokasi tersebut.

Selain itu syarikat-syarikat konsesi turut mengambil langkah efisyen menerusi kerja-kerja naik taraf di lebuh raya masing-masing seperti menukar penghadang jambatan dan rel adang kepada yang lebih selamat, penggunaan turapan jenis micro surfacing, porous asphalt. Penambahan peralatan safety measure juga ditingkatkan seperti pemasangan papan tanda LED, flashing amber, transverse bar, rolling barrier dan banyak lagi.

LLM dan PDRM serta dengan kerjasama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya seluruh negara telah bersedia untuk membantu pengguna dengan langkah-langkah proaktif dalam melancarkan aliran trafik dan memastikan keselamatan mereka sewaktu musim perayaan nanti. Antaranya dengan menempatkan anggota RELA di kawasan lalulintas di plaza tol dan kawasan R&R untuk tujuan kawalan trafik, mengaktifkan laluan contra flow di beberapa lokasi lebuh raya yang telah dikenalpasti, menempatkan kren dan kembalik di lokasi-lokasi strategik bagi memindah kenderaan yang rosak atau kemalangan dan pelbagai lagi.

Bagi meraikan Tahun Baru Cina dan tanda penghargaan kepada pengguna lebuh raya, sebanyak 16 buah syarikat konsesi akan menawarkan insentif dalam bentuk diskaun pada kadar 8% – 30% untuk kenderaan kelas 1 sehingga 5 di antara 10,11 dan 16 Februari 2018.

Pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalan lebih awal dengan mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (Travel Time Advisory) yang telah disediakan oleh pihak PLUS Berhad dan ANIH Berhad. Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini daripada pusat pengurusan trafik TMC LLM yang beroperasi 24 jam sehari melalui talian 1800-88-7752 atau akaun Twitter @LLMinfotrafik.

- Tamat -


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Ketua Biro Komunikasi PSKLM, En. Mohd Ramali Abu Bakar di 03 – 21642450


PSKLM telah didaftarkan pada 9 Februari 2011 sebagai platform untuk menangani isu-isu operasi lebuh raya di Malaysia. Ia bertindak sebagai orang tengah antara syarikat konsesi, pihak berkuasa dan orang awam untuk membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan kadar tol, operasi tol, penyelenggaraan lebuh raya dan perkara-perkara yang berkaitan lebuh raya yang lain.

Click to download a copy: Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2018