Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2017

March 1, 2018
Travel Smarter

Serdang, 16 Jun 2016 – Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan sokongan pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), baru-baru ini telah menjayakan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuhraya menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri 2017 di Bangunan Timbalan Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kempen Advokasi ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna lebuh raya akan peri pentingnya mengamalkan etika pemanduan berhemah dan bertimbang rasa di lebuh raya, di samping sebahagian daripada usaha murni untuk mengurangkan kadar kemalangan yang kian meningkat saban tahun. Kempen yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Datuk Rosnah binti Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya itu merupakan kesinambungan daripada siri kempen advokasi keselamatan lebuh raya terdahulu yang memberi penekanan khusus kepada generasi Y untuk dihebahkan menerusi platform media sosial dengan menggunapakai hashtag #Respeklabro.

“Bagi musim perayaan Aidilfitri pada tahun ini, kita menjangkakan pertambahan trafik harian sebanyak 30 – 40 % di Lebuhraya PLUS (utara dan selatan). Kita jangka akan turut berlaku peningkatan lebih 50% trafik di Lebuhraya KL – Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2. Pelbagai inisiatif proakftif akan dijalankan untuk melancarkan aliran trafik akibat pertambahan ini,” ucap beliau ketika melancarkan kempen tersebut. Beliau menyeru kepada pemandu agar berhati-hati dan pandu berhemah untuk pulang ke destinasi halaman masing-masing.

Inisiatif proaktif ini termasuklah menerusi langkah pihak Kerajaan yang mengeluarkan arahan henti kerja (stop order work) di lebuh raya kecuali bagi kerja – kerja kritikal sepanjang Kempen OP Selamat 11/2017, untuk tempoh 14 hari bermula dari 18 Jun 2017 sehingga 2 Julai 2017. Larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan turut dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama 4 hari, iaitu pada 23 dan 24 Jun 2017, serta 1 dan 2 Julai 2017.

LLM juga telah mengenalpasti 10 lokasi blackspot di Lebuhraya PLUS dan LPT pada tahun 2016. Sebanyak RM 4.15 juta telah dibelanjakan oleh syarikat konsesi terlibat untuk tujuan penambahbaikan ini. Selain itu, menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, pihak konsesi akan bersedia dengan 681 anggota PDRM dan RELA di Lebuhraya PLUS dan 216 orang di LPT untuk tujuan kawalan trafik dan keselamatan. Pasukan BOMBA dan Ambulans akan turut ditempatkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang terpilih bagi memudahkan operasi menyelamat sekiranya perlu.

Bagi meraikan Aidilfitri dan tanda penghargaan kepada pengguna lebuh raya, sebanyak 22 buah syarikat konsesi akan menawarkan insentif dalam bentuk diskaun pada kadar 6% – 28% dan rebat tol.

Pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalan lebih awal dengan mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (Travel Time Advisory) yang telah disediakan oleh pihak PLUS Berhad dan ANIH Berhad. Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini daripada pusat pengurusan trafik TMC LLM yang beroperasi 24 jam sehari melalui talian 1800-88-7752 atau akaun Twitter @LLMinfotrafik.

- Tamat -


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Ketua Biro Komunikasi PSKLM, En. Mohd Ramali Abu Bakar di 03 – 2164 2450


PSKLM telah didaftarkan pada 9 Februari 2011 sebagai platform untuk menangani isu-isu operasi lebuh raya di Malaysia. Ia bertindak sebagai orang tengah antara syarikat konsesi, pihak berkuasa dan orang awam untuk membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan kadar tol, operasi tol, penyelenggaraan lebuh raya dan perkara-perkara yang berkaitan lebuh raya yang lain.

Click to download a copy: Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2017